Wednesday, August 19, 2009

Selamat Berpuasa

FADHILAT PUASA WAJIB DAN SUNAT SEPANJANG TAHUN

Ibadat puasa adalah ibadah yang dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar siddiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib).

Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.

Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)

Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmat-Nya yang tidak terhingga
  • Mendidik nafsu amarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat belas kasihan terhadap orang-orang yang susah, menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun iaitu seperti yang akan disebutkan nanti.

Oleh itu saya terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja mahupun yang di sengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insya Allah.

0 comments:

 


Design by: Pocket